Friday, January 22, 2010

6 Pusat Inovasi Kebangsaan akan diwujudkan




Date : 15 August 2009
Publication : Utusan Malaysia

Sebanyak enam Pusat Inovasi Kebangsaan akan diwujudkan di seluruh negara dalam tempoh Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10), kata Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Dr. Maximus Ongkili.

Beliau berkata, penubuhan pusat tersebut adalah untuk mempromosi dan menyelaras industri serta usaha membabitkan inovasi dan kreativiti.

Beliau memberitahu, pusat berkenaan akan dibina masing- masing di Sarawak dan Sabah manakala empat lagi di Semenanjung.

"Sekiranya cadangan penubuhan pusat ini dipersetujui, kita akan memiliki pusat-pusat ini dalam RMK-10," katanya pada sidang akhbar di Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) di sini hari ini.

Terdahulu beliau menyaksikan majlis menandatangani Perjanjian Persefahaman (MoU) antara Multimedia Development Corporation (MDeC); SIRIM dan Persatuan Kreativiti dan Inovasi Malaysia (MACRI) dengan Unimas bagi menjayakan program- program Penyelidikan dan Pembangunan dan Inovasi (R&D&I).

Hadir sama Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Fadillah Yusof dan Naib Canselor Unimas, Profesor Dr. Khairuddin Ab. Hamid.

Ongkili berkata, di bawah RMK-9, kementerian tersebut telah menyumbangkan kira-kira RM59 juta kepada Sarawak melalui beberapa agensi dan institut pengajian tinggi seperti Unimas, Universiti Teknologi Swinburne dan Pusat Penyelidikan Craun sejak 2006 bagi program penyelidikan dan pembangunan (R&D).

Katanya, beliau berasa bangga dengan usaha Unimas kerana mampu menjalankan R&D dalam pelbagai bidang malah sudah memfailkan sembilan penemuan untuk dipatenkan.

"Ini mencerminkan bahawa Kerajaan Pusat sentiasa mementingkan sektor R&D melalui sokongan dana-dana yang sedia ada dan untuk Unimas sahaja sebanyak RM23 juta telah disumbangkan oleh kementerian ini sejak 2006," katanya.

Dalam pada itu, Ongkili turut memberitahu, kementerian tersebut juga telah melancarkan Yayasan Angkasawan Negara untuk menerajui usaha mempromosikan aeroangkasa dan astrologi.

Katanya, yayasan ini akan menangani sebarang dakwaan termasuk yang membabitkan angkasawan negara, Datuk Dr. Sheikh Muszaphar Shukor kerana didakwa menerima bayaran selepas menyampaikan ceramah dan muncul di acara awam.

"Bermula sekarang, sebarang bayaran atau dana yang diterima angkasawan akan disalurkan kepada yayasan untuk membiayai program promosi aeroangkasa," katanya.

No comments:

Post a Comment