Friday, January 22, 2010

Pengawal angin – Pensyarah UTem cipta alat selaras tekanan tayar secara automatik




Date : 27 August 2009
Publication : Berita Harian

PEMANDU sering mengabaikan perhatian terhadap tekanan angin tayar kenderaan, antaranya kerana mereka tidak mengetahui kelebihan tayar yang mempunyai tekanan angin bersesuaian.

Mereka juga sering memberi alasan tidak sempat dan sukar ke kios untuk menambah atau mengurangkan angin, selain kurang arif mengenai tahap tekanan tayar kenderaan masing-masing.

Pemandu juga tidak menyedari sikap ambil mudah mereka dengan memberi pelbagai alasan untuk tidak mengisi tayar dengan angin bersesuaian itu sebenarnya boleh mengundang kecelakaan ketika di jalan raya.

Bagi mengatasi masalah itu, pensyarah Fakulti Kejuruteraan Pembuatan, Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Ir Sivarao Subramonian, mencipta alat khas dikenali sebagai Automatic Tyre Pressure Controller (ATPC).

ATPC berfungsi mengehadkan tekanan angin tayar yang sesuai tanpa memerlukan pemandu mengetahui tahap tekanan yang sepatutnya.

Sivarao berkata, alat itu mudah dikendalikan menggunakan 'air compressor' atau pam tangan/kaki secara manual yang biasa digunakan di rumah.

"Selain mengehadkan tekanan angin ke tahap sesuai, alat ini juga secara automatik mengeluarkan bunyi apabila mencapai tekanan bersesuaian.

"ATPC juga mampu mengeluarkan angin dalam tayar secara automatik tanpa bantuan alat lain sekiranya berlaku over inflation atau lebihan angin," katanya kepada Berita Harian, baru-baru ini.

Beliau menjelaskan alat itu dicipta mengikut reka bentuk yang memenuhi keperluan pengguna dengan pelbagai kelebihan, antaranya boleh digunakan di mana-mana.

Saiznya juga kecil dan bersifat mudah alih, selain bebas kos penyelenggaraan dan harganya murah berbanding pelbagai kelebihan dimiliki.

Sivarao berkata, ATPC sudah mendapat hak paten dikeluarkan dalam beberapa model, iaitu PVC based single pre-set, aluminium made three pre-sets dan multiple robast presets untuk pasaran tempatan.

Beliau berkata, elemen keselamatan perlu dititikberatkan pemandu dengan memberi perhatian serius terhadap tekanan angin tayar sebelum berlaku sebarang malapetaka berpunca daripadanya.

"Tayar mempunyai sifat yang sama seperti belon, malah secara spesifiknya tekanan anginnya akan berkurangan 10 hingga 20kPa dengan sendiri setiap bulan.

"Justeru, pemandu perlu peka terhadap tekanan angin kenderaan masing-masing kerana ia bukan saja dapat memanjang sehingga 20 peratus jangka hayat tayar, malah menambahkan kecekapan brek dan menjimatkan petrol," katanya.

Kemampuan ATPC diiktiraf apabila meraih pelbagai pingat pada pertandingan reka cipta dan penyelidikan, antaranya gangsa di Pameran Reka Cipta, Inovasi dan Teknologi (ITEX) 2007 dan perak pula di Pameran Antarabangsa Reka Cipta, Teknik dan Produk Baru 2008 di Geneva, Switzerland.

No comments:

Post a Comment