Friday, January 22, 2010

Hidung elektronik – Penyelidik UKM hasil inovasi mampu hidu bau gas dikeluarkan sesuatu benda




Date : 13 August 2009
Publication : Berita Harian

PENGGUNAAN peralatan harian kini banyak menggunakan mesin dan peranti elektronik yang dihasilkan daripada teknologi cip silikon.

Rekaan unik bagi setiap peralatan itu memerlukan peranti bersaiz kecil dengan harga minimum, bagaimanapun proses pengecilan peranti cip silikon itu terhad, selain kos meningkat setiap tempoh 36 bulan.

Memandangkan kenaikan kos dan proses mengecil terhad, penyelidik kini mencari alternatif dengan menggunakan filem nipis bahan organik.

Inovasi baru itu berupaya menghasilkan peranti elektronik organik yang lembut dan boleh dilentur mengguna teknik cetakan yang memberi impak lebih besar kepada penghidupan manusia berbanding teknologi silikon.

Filem berkenaan berfungsi menggantikan cip silikon menggunakan teknik cetakan seperti mencetak akhbar dan poster dengan bahan organik sebagai dakwat.

Antara peranti yang boleh dihasilkan dengan teknik itu ialah pemancar cahaya organik (OLED), sel suria organik dan penderia gas.

Penyelidik Institut Kejuruteraan Mikro dan Nanoteknologi Institut Kejuruteraan Mikro dan Nanoelektronik, Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof Dr Muhamad Mat Salleh, berkata peranti OLED mempunyai potensi pemakaian besar dalam sistem paparan elektronik, sumber cahaya dan akhbar elektronik.

Beliau berkata, sel suria organik bukan saja sumber tenaga alternatif murah, malah susun atur penderia gas berfungsi sebagai hidung elektronik yang sangat berguna dalam industri makanan, pemantauan alam sekitar dan kawalan sektor perubatan.

Katanya, penemuan itu adalah hasil pembangunan teknologi nano yang dapat mengubah sifat elektronik sesuatu bahan organik yang dahulunya pasif kepada aktif.

Pelbagai barangan pengguna diperbuat daripada filem nipis yang lembut, antaranya akhbar elektronik, tag elektronik RFID, biosensor, pakaian pintar, sel suria dan paparan elektronik boleh gulung.

Pasaran peranti elektronik organik dan cetakan dijangka meningkat melebihi AS300 bilion dalam tempoh 20 tahun lagi.

Bagi memenuhi permintaan, penyelidikan berterusan perlu dijalankan sama ada mereka cipta peranti baru atau meningkatkan prestasi peranti sedia ada.

Peranti elektronik organik boleh diadaptasi dalam hidung elektronik menerusi rekaan E-hidung Optik yang terdiri daripada lapan filem nipis Langmuir-Blodgett Porfirin berlogam sebagai unsur penderia.

Dengan penggunaan filem nipis organik, rekaan E-hidung Optik berupaya menghidu bau gas yang dikeluarkan sesuatu benda.

Teknik hiduan digunakan dalam industri makanan, kawalan persekitaran, industri kimia, kastam ketenteraan dan perubatan.

Bagi industri makanan, peranti E-hidung Optik diuji untuk mengecam teh, rempah, cili dan wap kimia. Sistem hidung elektronik mampu mengecam sampel wap dengan nilai prestasi tinggi.

Prestasinya boleh dipertingkatkan dengan meninggikan penderiaan dan membangun algoritma sistem.

Sebagai contoh, dalam usaha meningkatkan pengurusan sektor pertanian, E-hidung Optik berfungsi mencium bau buah untuk menentukan sama ada ia sudah masak atau masih putik.

Lazimnya, di lapangan terbang anjing digunakan menghidup beg dan bungkusan mengesan dadah.

Pengecaman bau sesuatu bahan dimulai dengan mengalirkan wap bahan melintasi deria. Apabila berlaku tindak balas antara molekul wap dengan bahan penderia, tindak balas berlaku menyebabkan terjadi perubahan sifat optik pada filem nipis.

Info

Antara perkara guna filem nipis bahan organik
• Kelengkapan barangan pengguna di rumah
• Peralatan di tempat kerja
• Barangan di pasar dan dalam perjalanan
• Tag elektronik
• Biosensor
• Pakaian pintar
• Sel suria dan paparan boleh gulung
• Akbar elektronik

No comments:

Post a Comment