| | |
Publication : Utusan Malaysia
KINI, robot bukan sahaja menjadi sebahagian daripada kehidupan manusia, malah ia boleh mencapai ke tahap menjadi saingan dalam kebanyakan aktiviti terutama yang sukar.
Evolusi perkembangan teknologi robotik menunjukkan bahawa saintis sentiasa mencari jalan untuk mencipta mesin pintar tersebut lebih pintar daripada sebelumnya.
Robot tidak semestinya apa yang dibayangkan manusia sebagai menyerupai bentuk tubuh yang lengkap.
Ini kerana robot mungkin direka bentuk bergantung kepada aplikasinya seperti robot tangan di kilang atau untuk mengimpal, manakala satu lagi kategori ialah robot yang humanoid yang menyerupai tubuh manusia.
Contoh robot humanoid ialah Asimo yang dibangunkan oleh syarikat Honda.
Robot juga direka bentuk berinspirasikan alam persekitaran atau haiwan seperti ular, ulat atau haiwan peliharaan seperti Aibo yang juga dihasilkan oleh Sony.
Tidak kira apakah bentuk tujuan dan kegunaannya, robot kini semakin pintar dan hampir menyerupai kepintaran manusia. Dengan kemajuan teknologi elektronik, sistem pemprosesan pusat pada robot dipertingkatkan dan ditambah dengan fungsi-fungsi deria (sensor) dan juga motor, ia menjadi semakin canggih.
Robot sudah boleh menyapa manusia, mengikut arahan lisan manusia dan menjadi teman yang paling 'setia'.
Tanpa emosi dan nafsu, robot tentunya tidak menyusahkan manusia, malah, beban manusia menjadi kurang kerana kehadirannya.
Oleh sebab itu, banyak negara menceburi bidang robotik kerana penguasaan dalam bidang ini amat perlu, apatah lagi untuk tujuan manipulasi.
Di Malaysia, antara institusi yang terlibat dalam penyelidikan dan reka bentuk robot ialah Universiti Teknologi Malaysia (UTM).
Menerusi Pusat Robotik dan Kepintaran Buatan (CAIRO) , Fakulti Kejuruteraan Elektriknya, banyak jenis robot yang dihasilkan sejak program tersebut dimulakan pada 1996.
Menurut Pengarah Sekretariat Universiti Penyelidikan UTM yang juga bekas Pengarah CAIRO, Prof. Dr Shamsudin Mohd. Amin, industri robot sebenarnya diperkenalkan dalam industri pada 1970-an untuk membantu di kilang-kilang pembuatan.
Dengan keupayaannya melakukan kerja, malah pelbagai tugas dapat dilaksanakan dengan arahan manusia atau diprogramkan menggunakan komputer.
Selain itu, robot yang popular kini ialah yang berinspirasikan haiwan, rupa bentuk seperti ular , serangga dan sebagainya. Satu lagi perkembangan termaju bidang robotik ialah pembinaan dua atau tiga robot saling berinteraksi untuk melaksanakan tugas secara bersama seperti mengangkat beban yang berat.
Robot seumpama ini amat canggih kerana mampu berinteraksi dengan sistem pintar ciptaan manusia dan menjadi satu cabaran dalam bidang mekatronik penderiaan dan program perkomputeran.
Robot yang dinamakan Sistem Robot Pelbagai Agen (i-MARS) dibangunkan dengan menggunakan teknologi sensor dan interaksi gelombang atau wayarles menggunakan Bluetooth, menggunakan peralatan mudah alih seperti telefon bimbit, pembantu digital peribadi (PDA) yang membolehkan manusia berinteraksi dengannya.
Interaksi itu kemudian diterjemahkan dalam bentuk arahan melakukan tugasan ke atas robot berkenaan sama ada mengangkat barang, membersihkan kawasan, untuk kawalan dan juga membantu kerja-kerja rutin.
"Kami di UTM telah banyak menghasilkan robot yang dibangunkan oleh pelajar sejak sekian lama," katanya ketika ditemui di UTM, Skudai, Johor.
Malah pada 2006, UTM, kata beliau memulakan penyelidikan menghasilkan robot humanoid dan kini masih dalam kerja-kerja akhir sebelum diperkenalkan kepada masyarakat.
Robot tersebut dibangunkan untuk membuktikan keupayaan saintis tempatan bersaing dengan teknologi sedia ada meskipun masyarakat akan lebih mengenali Asimov, robot buatan Honda yang begitu terkenal.
Namun UTM tidak ketinggalan dalam penciptaan robot lain terutama yang berinspirasikan persekitaran sama ada haiwan dan tumbuh-tumbuhan.
Antara ciptaan robot UTM ialah robot boleh memanjat, robot berbentuk ulat, robot mampu menari dan sebagainya. Universiti juga mengkaji untuk memungkinkan manusia dan robot saling berinteraksi dengan pendekatan pengesanan. Robot dibangunkan dengan keupayaan berinteraksi dengan manusia menggunakan sistem pengesanan muka atau warna kulit.
Menerusi teknologi ini, robot dipasang dengan kamera yang disambung dengan sistem komputer (sebahagian daripada komponen robot berkenaan).
Jika terdapat lebih daripada satu muka di hadapan robot berkenaan, ia akan mengesan muka yang terdekat dan dirakam untuk dilakarkan dalam sistem algortima.
Sistem tersebut akan membentuk gambaran dan secara teknikalnya disimpan dalam fail khas untuk tujuan pengenalpastian oleh robot terbabit.
Algoritma tersebut direka bentuk untuk mengesan ruang warna YUV yang mana Y mewakili warna kilauan dan UV untuk kromatik dan lakaran histogram diplotkan untuk memberi gambaran kepada wajah yang berada di hadapan robot berkenaan.
Meskipun ia satu teknologi tinggi tetapi dengan sistem tersebut robot bukan sahaja 'mengenali' siapa di hadapannya tetapi boleh berinteraksi mengikut kod-kod yang dipadankan dalam sistem tersebut.
Jadi tidak hairanlah jika robot boleh berinteraksi dengan objek statik iaitu mampu mengelakkan halangan, rintangan tetapi objek yang bergerak sekalipun akan turut dikesan.
Dengan ini terbuktilah bahawa tidak ada yang mustahil daripada sistem robotik. Malah manusia semakin berangan-angan untuk berlawan perlawanan sukan dengan robot seperti bola sepak, bola keranjang pada masa akan datang dalam sebuah stadium yang biasa terdapat pada hari ini.
Mungkinkah dalam kejohanan sukan pada masa akan datang, manusia tidak lagi berentap sesama mereka tetapi bertanding merebut piala kejohanan dengan robot.
Jika sebelum ini robot separuh manusia seperti Robocop sudah bertugas menjadi polis, tidak mustahil sekiranya dalam dekad-dekad akan datang ketumbukan tentera sesebuah negara maju dianggotai oleh robot sepenuhnya yang boleh berinteraksi sesama sendiri dan juga tuannya iaitu manusia.
Apa yang mungkin mustahil ialah sekiranya manusia sudah tergamak menjadikan robot sebagai pasangan hidup kerana apakah terminologi perkahwinan itu?
No comments:
Post a Comment