| | |
Publication : Berita Harian
KOS tinggi operasi rawatan air di loji kumbahan konvensional mendorong Ketua Pusat Kajian Alam Semula Jadi, Fakulti Kejuruteraan Kimia, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam, Prof Dr Ku Halim Ku Hamid, mencari alternatifnya.
Usahanya berhasil apabila menemui teknologi lebih murah merawat air kumbahan menggunakan rumah bakteria dan tanah bencah (berpaya) yang dinamakan Sistem Olahan Air Kumbahan Bioteknologi Berintegrasi.
Selain menghilangkan bau lazimnya dihasilkan sistem konvensional aerobik, teknologi itu hanya memerlukan sekitar RM100,000 hingga RM200,000 untuk kapasiti 3,500 penduduk, selain tidak menggunakan tenaga elektrik dan bantuan mekanikal lain.
Ku Halim berkata, keberkesanan mikrob (kombinasi bakteria yis dan enzim) dengan penggunaan rumah bakteria diperbuat daripada bahan berliang dan tindakannya secara aneorobik (rawatan atau olahan tanpa udara) terhadap sisa dalam aliran kumbahan berjaya meningkatkan kualiti air dirawat.
Beliau menjelaskan, rumah atau medium bakteria diapungkan dalam aliran kumbahan bagi mengolah sisa organik terampai, manakala rumah bakteria di dasar kolam diwujudkan bagi merawat bahan organik mendap.
“Reka bentuk dan kaedah penggunaan rumah bakteria adalah ‘novelty’ (perkara baru) dalam sistem ini.
“Teknologi ‘impregnation’ (penyerapan) digunakan bagi memastikan kuantiti mikrob yang mencukupi dalam rumah bakteria yang kemudian dimasukkan ke dalam aliran kumbahan.
“Mikrob disuntik secara berkala dalam aliran kumbahan bagi memastikan bekalan mencukupi untuk pengolahan bahan organik, manakala darjah olahan sisa kumbahan dalam teknologi penghasilannya perlu diselenggara supaya konsisten,” katanya kepada Berita Harian, baru-baru ini.
Ku Halim berkata, teknologi produk diasaskan kepada pemahaman ciri mikrob dan konsep olahan air sisa itu berjaya digabungkan sebagai pakej kejuruteraan berkesan bagi menangani masalah kumbahan.
Peringkat kedua olahan, katanya, ialah penggunaan tanah berpaya dibangunkan bersama tumbuhan dikenal pasti, antaranya perupuk, pandan, bemban, kangkung dan untuk kolam, keladi bunting atau teratai, kerana akarnya akan berkembang melalui batu kelikir (gravel) yang kemudian bertindak sebagai penyerap logam berat.
“Sebelum itu, bahan berliang digunakan untuk diserapkan dengan mikrob bagi mengolah bahan organik yang terperangkap dalam gravel.
“Kaedah rumah bakteria yang diserap biasanya tidak dipraktikkan dalam pembinaan tanah berpaya. Air dialirkan melalui gravel secara semula jadi dan sentuhan dengan bahagian tumbuhan secara aliran ‘zig-zag’ dioptimumkan, seterusnya mengeluarkan air bersih dan memenuhi standard kualiti alam sekitar.
“Perubahan ketara hasil air terawat boleh dilihat selepas seminggu dua saringan itu dibuat, ia boleh dikitar semula terutama bagi menyiram pokok,” katanya.
Teknologi baru itu juga boleh digunakan untuk pengolahan sisa kumbahan secara anerobik dalam pelbagai saiz loji dan menangani pembuangannya secara terbuka.
“Teknologi ini sedang dimajukan di kampus induk UiTM, Shah Alam dan diuji keberkesanannya oleh kerajaan Arab Saudi melalui pembabitan para penyelidik dari King Abdul Aziz University, Jeddah serta Universiti Raja Fhad, Damman.
“Ia dijangka diguna pakai bagi mengolah kumbahan terkumpul di East Breeman Lake, Jeddah dianggarkan berkeluasan 20 kilometer persegi dengan kerjasama syarikat tempatan, Secorp Strategic Enterprises Corporation Limited Company,” katanya.
Teknologi sudah dipatenkan di Malaysia dua tahun lalu itu pernah mendapat pengiktirafan di dalam dan luar negara, termasuk memenangi pingat emas pada Invention, Innovation and Design 2008 (UiTM), Bio-Malaysia 2008, 37th International Exhibition of Invention di Romania serta Anugerah Khas kerajaan Romania, baru-baru ini.
No comments:
Post a Comment