Friday, January 22, 2010

Teknologi terkini: IPT mampu gerakkan perkembangan, lahir pakar bidang perubatan pengimejan nuklear




Date : 11 August 2009
Publication : Berita Harian

PENGGUNAAN teknologi pengimejan nuklear dalam bidang perubatan kini semakin meluas di luar negara, khususnya Eropah dan Australia sebagai salah satu kaedah pengesanan sel penyakit dalam badan manusia.

Berbeza di Malaysia, teknologi itu tidak begitu popular biarpun keperluannya penting, khususnya dalam mengenal pasti punca sesuatu penyakit, sekali gus membolehkan langkah pemulihan dan rawatan segera dilakukan lebih menyeluruh.

Kekurangan tenaga pakar pengimejan perubatan nuklear antara kekangan dihadapi negara ketika ini, menyebabkan perkembangan teknologi pengimejan nuklear agak lambat berbanding luar negara yang lebih dulu mencapai kemajuan dalam bidang perubatan.

Malah, penggunaan Positron Emission Tomography Computed Tomography (PET CT) sebagai teknologi terkini bidang pengimejan perubatan nuklear juga tidak begitu meluas, hanya beberapa hospital kerajaan terpilih memiliki teknologi bernilai puluhan juta ringgit itu.

Kekangan itu jelas menyukarkan usaha bagi memungkinkan bidang perubatan nuklear negara terus maju selari dengan cabaran dan perkembangan dunia perubatan semasa.

Justeru, ramai melihat keperluan menangani permasalahan itu menerusi pendekatan strategik bagi melahirkan lebih ramai pakar bidang berkenaan, khususnya juruteknologi perubatan nuklear yang memiliki kepakaran saintifik pengimejan perubatan nuklear.

Di sini, institusi pengajian tinggi (IPT) mampu berperanan sebagai penggerak ke arah perkembangan bidang perubatan nuklear negara menerusi perkongsian pengetahuan dan kepakaran ahli akademik masing-masing.

Sudah sampai masanya, khususnya IPT awam (IPTA) meneroka bidang penyelidikan dan pembangunan berkaitan perubatan nuklear yang mampu membawa kepada pelbagai penemuan baru, selain membantu negara melahirkan lebih ramai pakar bidang berkenaan.

Sebagai contoh, UPM kini berusaha mempelopori bidang perubatan nuklear bagi mencapai hasrat muncul Pusat Kecemerlangan Perubatan Nuklear apabila berjaya mendapat pengiktirafan Agensi Antarabangsa Tenaga Atom (IAEA) untuk memangkin kerjasama penyelidikan dan pembangunan sumber manusia dalam bidang perubatan nuklear.

IAEA adalah agensi yang bertanggungjawab memantau program pembangunan teknologi nuklear setiap negara yang memajukannya.

Langkah dilaksanakan UPM disifatkan permulaan baik bagi IPTA tempatan mencorak kegiatan akademik dan penyelidikan bidang berkaitan dengan institut penyelidikan perubatan nuklear antarabangsa.

Malah, beberapa kejayaan dicapai hasil kerjasama UPM dan IAEA, termasuk membawa masuk teknologi PET CT untuk memperkasakan bidang penyelidikan perubatan nuklear universiti, selain pengenalan program Distance Assisted Training (DAT) bermula bulan depan.

Program DAT diperkenalkan UPM bertujuan melatih kepakaran juruteknologi pengimejan perubatan nuklear menggunakan silibus komprehensif dan bersepadu mengikut piawaian IAEA, sekali gus menangani masalah kekurangan tenaga pakar bidang berkenaan.

Menerusi program itu, UPM yang mewakili Malaysia di bawah Projek Perjanjian Kerjasama Wilayah atau Regional Cooperative Agreement (RCA) IAEA di rantau Asia Pasifik, Afrika, Amerika Selatan dan Eropah dibekalkan silibus standard bagi menjalankan DAT.

Pengenalan program itu kelak mendedahkan pelajar kepakaran saintifik pengimejan perubatan nuklear, termasuk tahu sifat radiasi pengionan, kesan kemudaratannya serta kaedah perlindungan bagi menjamin keselamatan penggunaan.

Kandungan program direka khas bagi membantu pelajar mengembangkan kemahiran asas praktikal yang membolehkan mereka mengikuti pembelajaran pengimejan perubatan nuklear berkualiti.

Pelajar berjaya menamatkan program itu layak menjadi ahli teknologi dan berupaya menyumbang peningkatan kecekapan serta kualiti perkhidmatan klinikal perubatan nuklear.

Pengenalan program itu juga antara usaha ke arah melahirkan lebih ramai pakar bidang berkenaan dengan keupayaan mengendalikan kes setanding serta diperakui di peringkat antarabangsa.

No comments:

Post a Comment