Friday, January 22, 2010

Kerajaan cadang bangunkan kincir angin jana elektrik




Date : 19 August 2009
Publication : Utusan Malaysia

Pasukan Khas Pembaharuan Tenaga Kebangsaan (PKPTK) akan melakukan pemetaan angin di seluruh negara bagi mengenal pasti lokasi-lokasi sesuai untuk dibina kincir angin yang menjana tenaga elektrik.

Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Fadillah Yusof berkata, kerja-kerja pemetaan angin akan dilakukan pada Julai tahun depan.

Menurutnya, untuk tujuan tersebut kementerian akan memperuntukkan dana sebanyak RM1.9 juta.

''Pasukan khas itu akan melakukan pemetaan angin bagi mengenal pasti potensi kincir angin yang akan menjana bekalan elektrik.

''Ini memberi faedah terutamanya kepada penduduk di kawasan luar bandar yang tidak boleh diakses oleh grid bekalan elektrik," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Sidang Kemuncak Pembaharuan Tenaga Kebangsaan 2009 (REneW) di sini hari ini.

Fadillah berkata, pasukan khas tersebut juga akan mengenal pasti daya maju teknologi-teknologi pembaharuan tenaga lain yang boleh dibangunkan untuk dijadikan sebagai projek-projek perintis.

Katanya, pasukan khas yang ditubuhkan enam bulan lalu itu bertujuan untuk meneroka semua teknologi yang boleh diguna pakai di Malaysia dalam usaha kementerian mencari pelbagai cara untuk memperbaharui tenaga yang ada di negara ini.

Terdahulu dalam ucapannya, Fadillah memberitahu, agensi-agensi di bawah kementerian tersebut sedang giat menjalankan penyelidikan dan pembangunan (R&D) seperti SIRIM, Agensi Nuklear Malaysia, institusi penyelidikan dan universiti-universiti.

''Kumpulan-kumpulan yang menjalankan R&D ini terbabit dengan projek-projek janakuasa pembaharuan tenaga dengan dibiayai pelbagai dana daripada kementerian.

''Kita berharap sidang kemuncak ini akan dapat mengumpul segala idea dan maklumat mengenai teknologi-teknologi yang boleh diguna pakai untuk menjana pembaharuan tenaga menerusi kekayaan sumber negara dan seterusnya diperluaskan untuk dikomersialkan," ujarnya.

No comments:

Post a Comment